SUKAN > BERITA

THT Buru Gelaran Trebel Di MHL 2025

02/01/2025 04:57 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Bernama) -- Tampil dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman, skuad Terengganu Hockey Team (THT) tekad untuk merampas semula tiga gelaran dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 yang membuka tirai pada 4 Jan ini.

Ketua jurulatihnya Mohd Harfizi Baharom berkata pada musim lepas, THT terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Piala Sumbangsih, Piala TNB dan naib juara liga.

Beliau berkata kehadiran dua pemain import berpengalaman dari Korea Selatan dan Afrika Selatan bakal memperkuatkan lagi jentera THT pada saingan musim baharu.

"Tahun ini kita akan cuba kembalikan ketiga-tiga piala ke Terengganu setelah terlepas peluang tahun lepas. Kita agak kecewa kerana radar untuk memenangi gelaran trebel sudah ada, tetapi kita terlepas beberapa peluang keemasan.

"Insya-Allah 2025 ini pemain sudah sedia bangkit daripada kekecewaan dan mengembalikan gelaran juara treble yang pernah kita menangi pada 2023,"  katanya selepas Majlis Memperkenalkan Pemain, Jersi 2025 dan Penaja THT bagi saingan MHL 2025.

THT musim ini mempertaruhkan 39 pemain termasuk dua import dan tujuh muka baharu bagi mengharungi MHL yang akan berlangsung pada 4 Jan hingga 22 Feb.

Dua tonggak import THT Samkelo Mvimbi akan beraksi di bahagian serangan manakala Lee Nam Yong pula berkebolehan bermain di semua posisi.

Sementara itu, ketua pasukan THT Mohd Fitri Saari berkata saingan tahun ini dijangka lebih sengit dengan kehadiran pasukan dari Australia, Territory Stringers dan Matador Hockey Club, namun ia tidak melemahkan semangat pemain THT yang sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

"Matador Hockey Club mungkin menjadi pesaing baharu yang kuat kerana mereka dibarisi tujuh pemain import dari Pakistan.

"Begitu juga dengan pasukan dari Australia yang memiliki kelebihan tersendiri. Tetapi itu bukan alasan untuk kita lemah dan kita akan cuba harungi musim ini dengan buat yang terbaik," katanya.

Selain THT, Matador Hockey Club dan Territory Stingers, tujuh lagi pasukan bertanding ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, Nurinsafi Sporting, UiTM HA-KPT, Armed Forces HT, TNB Thunderbolt dan Liaoning Hockey Team (China).

Sebanyak 78 perlawanan akan berlangsung di enam venue terpilih iaitu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki KPM, Stadium Hoki Tun Razak, Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang dan Stadium Hoki Seremban, Negeri Sembilan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan