KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Walaupun sebahagian besar wakil negara terpaksa berputih mata pada hari pembukaan Terbuka Malaysia 2025, tiga pasangan termasuk beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya mara ke pusingan kedua.
Dalam pembukaan musim yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Tang Jie-Ee Wei meraih kemenangan mudah 21-8, 21-9 ke atas gandingan Taiwan Wu Hsuan-Yi-Yang Chu Yun dalam masa 27 minit, sekali gus menjadi wakil Malaysia pertama melepasi pusingan pertama kejohanan Super 1000.
Walaupun rakan senegara mereka mengalami kekalahan awal, Ee Wei berkata mereka tetap fokus dan tidak terpengaruh dengan keputusan perlawanan lain.
“Kami tidak berfikir banyak, hanya mahu wakil Malaysia menang lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri,” katanya kepada wartawan di zon campuran.
Tang Jie-Ee Wei akan menentukan tempat ke suku akhir menentang satu lagi pasangan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En-Tzu, yang menghalangan pertembungan sesama wakil Malaysia selepas menang dalam tiga set menentang pasangan baharu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 28-26, 14-21, 24-22.
Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun memerlukan 37 minit untuk mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-12, 21-17.
Walaupun melakukan beberapa kesilapan dalam perlawanan, Kai Wun lega kerana mereka akhirnya berjaya melangkah ke pusingan kedua untuk menentang pasangan pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, yang menewaskan rakan sepasukan mereka, Chiang Chien-Wei-Wu Hsuan-Yi, 21-18, 16-21, 21-16.
Dalam acara beregu wanita, pasangan profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sien cemerlang dengan menundukkan pasangan Taiwan, Cheng Yu-Pei-Sun Yu Hsing, 21-11, 21-17 untuk mara ke pusingan seterusnya.
Namun, laluan mencabar menanti Vivian-Chiew Sien apabila mereka akan berdepan pasangan pilihan utama dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang menyingkirkan pasangan Denmark, Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow 21-10, 21-10.
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, terus mengalami mimpi ngeri di Terbuka Malaysia apabila tersingkir dalam pusingan pertama untuk kali ketiga berturut-turut, kali ini kepada pasangan baharu dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Diletakkan pilihan ketiga kejohanan, Pearly-Thinaah menang set pertama 21-19 sebelum kehilangan rentak dan tewas 14-21, 13-21 dalam dua set berikutnya.
Pearly mengakui sukar untuk menyesuaikan diri dengan permainan pasangan yang baharu bergandingan dari Indonesia itu terutamanya dengan serangan smash yang kuat, yang menjadi faktor utama mereka ditunjukkan jalan keluar.
Satu lagi pasangan negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 17-21, 10-21.
Terdahulu hari ini, tujuh lagi wakil Malaysia tersingkir termasuk pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang mengejutkan apabila tewas kepada pasangan tidak ternama dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 5-21, 21-9, 18-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial