SUKAN > BERITA

Safawi Hanya Mahu Beri Terbaik, Biar Cklamovski Nilai

24/01/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kapten Terengganu FC Safawi Rasid menyatakan hasrat memberikan persembahan terbaik bersama kelabnya dan menyerahkan sepenuhnya buat ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski berhubung penampilannya dalam skuad kebangsaan.

Beliau percaya aksi positif menjadi penilaian penting jurulatih dari Australia itu untuk memanggil mana-mana pemain termasuk dirinya beraksi bersama skuad kebangsaan yang akan memulakan saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Mac ini.

“Sudah tentu bila jurulatih baharu datang memang memberikan semangat (buat pemain) dan kita kena semangat dapatkan kita punya kerja berpasukan.

“Saya akan beraksi dulu dalam kelab dan apa jua keputusan terletak kepada ketua jurulatih untuk saya bermain,” katanya ketika ditemui pada pelancaran jersi baharu Harimau Malaya semalam.

Safawi menyifatkan Cklamovski yang memulakan tugas secara rasmi bermula minggu ini dalam masa sama mempunyai karakter yang cukup tegas menerusi pengamatan beliau.

Pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke kejohanan bola sepak terunggul Asia itu di Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan