SUKAN > BERITA

Hannah Gesa Persatuan Sukan Kurangkan Amalan Politik

25/01/2025 12:35 PM

KAJANG, 25 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta persatuan sukan di negara ini agar mengurangkan amalan politik dalam sukan termasuk ketika sesi pemilihan baharu persatuan terlibat. 

Hannah berkata beliau mahu setiap pemilihan yang dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan sukan dilaksanakan secara sihat.

Beliau berkata sekiranya amalan politik itu masih berterusan, beliau khuatir ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pembangunan dan prestasi atlet serta jurulatih mereka.

“Biar politik itu dijalankan oleh parti politik. Persatuan sukan jalankan aktiviti sukan,” katanya pada Klinik Netball Super League (NSL) 2025 anjuran syarikat televisyen berbayar Astro di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemilihan calon jawatan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang didakwa terlibat dalam pemalsuan dokumen pencalonan. 

Dakwaan terbabit dilakukan pencabarnya yang juga penyandang jawatan, I Vikneswaran menjelang AGM PHKL hari ini.

Hannah berkata tuduhan dilemparkan pada mana-mana sesi pemilihan ataupun AGM persatuan sukan ialah perkara biasa dan sekiranya terbukti bersalah, Pesuruhjaya Sukan akan memainkan peranan dengan mengambil tindakan selanjutnya.

“Yang penting untuk setiap penganjuran AGM, perjalanan itu semua sudah ada undang-undang dan garis panduan terpakai. Kalau ada apa-apa aduan memang Pesuruhjaya Sukan akan ambil tindakan ataupun ada juga yang sampai pergi ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Hannah akan menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menilai taraf kejohanan dunia disertai atlet atau pasukan sebelum memberi ganjaran kepada mereka.

Walaupun terdapat atlet atau pasukan menyertai kejohanan dunia, Hannah berkata standard berkenaan berbeza khususnya bilangan negara yang bersaing dalam pertandingan itu.

“Misalnya Piala Dunia ada lima negara, ada pula 100 negara. Jadi, taraf itu berbeza dan oleh sebab itu, semua ini MSN ada cara pengiraan serta pengiktirafan, kita kena biarkan mereka buat kerja itu dan nasihatkan,” katanya.

Klinik NSL yang dijalankan hari ini menyaksikan penglibatan sebanyak 149 pelajar sekolah menengah berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun dari seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan