KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ketiadaan pasukan Kazakhstan dalam kumpulan B di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 tidak memberi sebarang kelebihan kepada skuad negara.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata Malaysia yang diundi bersama Hong Kong dan Indonesia masih memerlukan satu kemenangan sekiranya berhasrat untuk layak ke peringkat suku akhir kejohanan itu.
Beliau berkata apa yang penting ketika ini adalah pasukan Malaysia perlu bersiap siaga dari segi mental dan fizikal sebelum kejohanan itu selain perlu mempamerkan aksi yang terbaik di atas gelanggang.
“Bagi saya empat atau tiga pasukan dalam satu kumpulan itu tidak penting kerana kita masih ada risiko untuk lepas peringkat kumpulan. Sebab kalau asyik fikir mengenainya ia akan memberi tekanan kepada pasukan.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam acara berpasukan kita perlu fokus kepada diri sendiri dan bagaimana untuk motivasi pasukan terutama berdepan Hong Kong dan Indonesia,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Kazakhstan dialih kumpulan C kejohanan BAMTC 2025 dan akan bersaing bersama Jepun dan Thailand bagi merebut tiket ke suku akhir.
Perkembangan itu susulan Filipina menarik diri daripada bertanding kejohanan berkenaan.
Dalam pada itu, Rexy berkata barisan kejurulatihan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk memecah ganding pasangan yang beraksi di kejohanan itu mengikut kesesuaian yang difikirkan memberi kelebihan pada pasukan negara.
“Itu pertanyaan yang selalu (diajukan) kalau untuk acara berpasukan. Bukan kita sahaja tetapi semua pasukan pasti akan buat perkara sama bergantung kepada apa yang pasukan perlukan.
“Itu harus kita lihat dulu adakah sesuai untuk meletakkan gandingan asal atau memecah gandingan. Itu kita lihat nanti pada waktu perlawanan...kemungkinan itu pasti ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial