SUKAN > BERITA

KBS Rancang Perkenal Inisiatif Pemindahan Bakat Sukan

10/02/2025 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memastikan perjalanan bakat dipupuk sejak usia muda tidak terhenti pada satu jenis sukan sahaja terutama jika mereka didapati kurang berpotensi untuk mewakili negara dalam sukan yang diceburi itu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS akan membantu memudahkan perpindahan bakat ke sukan lain bagi memastikan usaha ibu bapa yang menghantar anak mereka berkecimpung dalam sesuatu sukan tidak disia-siakan.

"Sukan yang memerlukan atlet untuk bermula pada usia muda seperti gimnastik berirama adalah satu daripadanya tetapi tidak semua kanak-kanak akan membesar menjadi atlet yang mewakili Malaysia.

"Saya tidak mahu pelaburan awal yang dilakukan ibu bapa dibazirkan. Apabila kanak-kanak itu menyedari mereka tidak berapa bagus dalam sukan itu," katanya selepas merasmikan cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini semalam.

Beliau turut memuji langkah positif dilaksanakan antara Rythmic Excellence Academy ditubuhkan Petrina Low yang juga Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia bersama akademi sukan terjun di Bukit Jalil, berkolaborasi dengan bekas penerjun negara Datuk Leong Mun Yee.

“Kerjasama seperti ini yang kita mahu lihat iaitu atlet boleh bertukar kepada sukan lain," katanya sambil menambah Majlis Sukan Negara bersama jurulatih terlibat sedang meneroka kaedah untuk inisiatif itu.

Hannah dalam masa sama memberi contoh bekas jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang pada mulanya bermain bola keranjang sementara ratu wushu negara Tan Cheong Min bermain badminton sebelum kedua-duanya berpindah kepada sukan lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan