SUKAN > BERITA

Sentuhan Gonzalez Bantu JDT Benam Central Coast Mariners 2-1

11/02/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pemain import baharu dari Sepanyol, Alvaro Gonzalez mencipta nama pada penampilan sulung bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan dua jaringannya membolehkan skuad Harimau Selatan menewaskan Central Coast Mariners 2-1 di Gosford, New South Wales, Australia, hari ini.

Jaringan pemain pertahanan berusia 35 tahun itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) mencerahkan peluang JDT untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir apabila mendaki tangga kelima Kumpulan Zon Timur dengan mengumpul 11 mata.

 Pada aksi yang berlangsung di Stadium Industree Group, Gosford, anak buah Hector Bidoglio mempamerkan aksi yang bertenaga sejak awal permainan apabila berjaya mencipta beberapa peluang berbanding pasukan tuan rumah.

Asakan bertali arus jentera serangan memaksa penjaga gol Central Coast Mariners, Dylan Peraic Cullen melakukan kesilapan pada penghujung babak pertama apabila mengasari penyerang prolifik kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi yang mempunyai peluang keemasan menjaringkan gol.

Hasil semakan video bantuan pengadil (VAR), pengadil membuat keputusan melayangkan kad merah selepas mendapati Dylan Peraic menafikan peluang jelas jaringan untuk Arif Aiman meletakkan JDT di hadapan.

Susulan insiden itu, JDT diberikan sepakan percuma yang hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan namun jaringan Bergson Da silva yang bijak melakukan tindakan susulan selepas sepakan Heberty terkena tiang gol dibatalkan apabila pemain itu didapati berada di kedudukan ofsaid selepas semakan VAR.

Memasuki separuh masa kedua, Bergson sekali lagi hampir berjaya meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-50  namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol gantian tuan rumah, Adam Pavlesic.

Jaringan yang ditunggu-tunggu JDT akhirnya hadir pada minit ke-64 apabila Gonzalez bijak menendang masuk hantaran Arif Aiman untuk membuka akaun jaringannya bersama Harimau Selatan.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Central Coast Mariners berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian Alou Kuol selang enam minit kemudian.

Gonzalez sekali lagi meletakkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-79 apabila menanduk masuk hantaran silang Heberty untuk mengesahkan kemenangan 2-1 JDT pada aksi itu.

Skuad Harimau Selatan seterusnya akan melayan kunjungan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada aksi terkakhir peringkat kumpulan, 19 Feb ini.

Hanya lapan pasukan teratas selepas lapan aksi peringkat liga akan mara ke pusingan 16 terbaik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan