KUALA NERUS, 13 Feb (Bernama) -- Pasukan Terengganu FC (TFC) berazam meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Ketua Jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata skuad Penyu perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus memperbaiki kedudukan di pentas liga.
Justeru, pengendali berusia 49 tahun itu menuntut pemain supaya lebih fokus dan kembali cergas bagi mengekang serangan skuad The City Boys.
"Kita masih ada baki tujuh perlawanan dalam Liga Super dan setakat ini kita ketinggalan lima mata di belakang Sabah FC di tempat ketiga.
"Untuk peluang naik ke kedudukan tiga teratas, TFC tak boleh lagi keciciran mata. Kita akan manfaatkan sepenuhnya empat aksi di tempat sendiri untuk kutip mata maksima sebagai cabaran kepada Sabah FC," katanya ketika ditemui di SSMZA.
Sementara itu, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu turut mengingatkan anak buahnya supaya mengawal ketat penyerang naturalisasi Paolo Josue yang disifatkan sebagai ancaman besar kepada pertahanan skuad Penyu.
Beliau berkata keupayaan Josue untuk menyudahkan setiap peluang terhidang menjadikan pemain itu senjata lawan yang cukup ampuh serta berbahaya.
"Apatah lagi kita (TFC) juga bermasalah di bahagian serangan. Sejujurnya saya masih tidak berpuas hati dengan barisan hadapan.
"Boleh dikatakan di setiap perlawanan kita mempunyai peluang, tetapi tak dapat menjaringkan gol kerana ketumpulan serangan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial