SUKAN > BERITA

Liga Super: Dua Gol Darren Lok Bantu Sabah Ikat Sri Pahang

17/02/2025 12:30 AM

KOTA KINABALU, 16 Feb (Bernama) -- Dua jaringan penalti Darren Lok menyelamatkan maruah Sabah FC di laman sendiri apabila mengikat Sri Pahang FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini malam ini.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengatur serangan, namun Darren meletakkan Sabah di hadapan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21.

Selang dua minit, pasukan pelawat bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan apabila Adam Nor Azlin melepaskan rembatan jarak jauh menarik yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang tuan rumah.

Permainan semakin rancak dengan beberapa percubaan berbahaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan, namun Kpah Sherman meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua, Darren muncul wira Sabah apabila menyempurnakan sepakan penalti keduanya selepas rakan sepasukan S. Kumaahran dikasari pertahanan Sri Pahang FC pada minit ke-58.

Sementara itu, dua jaringan di lewat permainan menyaksikan pertembungan antara Penang FC dan Kuching City FC berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Terdahulu, jaringan Jordan Mintah pada minit ke-74 mulanya dinafikan oleh penjaga garisan kerana dikatakan ofsaid, namun gol itu disahkan oleh pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dibuat, sekali gus meletakkan Kuching City di depan.

Kegembiraan pasukan pelawat bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Penang menyamakan kedudukan selang 12 minit kemudian menerusi hantaran lintang dari sebelah kanan oleh pemain gantian, Alif Ikmal.

Keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan