SUKAN > BERITA

ATC 2025: Jepun Sasar Ranking Dunia Dan Slot Tambahan Kejohanan Dunia

20/02/2025 05:58 PM

NILAI, Feb 20 (Bernama)  -- Jepun bersedia memulakan musim 2025 mereka di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) di sini dengan gabungan pelumba elit berpengalaman dan bakat baharu dalam usaha mengumpul mata penting bagi ranking dunia serta  tempat kuota tambahan ke Kejohanan Dunia.

Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2025 akan berlangsung di Santiago, Chile, pada Oktober ini.

Ketua jurulatih pecut Jason Niblett yang menerajui pasukan sejak 2021 mengakui gabungan  pelumba dalam skuad kali ini dengan kehadiran juara dunia seperti Kazushige Kuboki (perlumbaan scratch) dan Mina Sato (keirin), selain beberapa pelumba yang bakal membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa.

"Ini adalah permulaan musim kami, jadi matlamat utama adalah untuk mengutip mata berharga dalam ranking dunia dan jika boleh mendapatkan tempat kuota tambahan ke Kejohanan Dunia," katanya kepada Bernama hari ini.

Niblett berkata walaupun beberapa pelumba baru sahaja kembali daripada rehat selepas Kejohanan Dunia tahun lalu, mereka masih dalam proses untuk mencapai tahap prestasi terbaik. Beliau menekankan bahawa kejohanan ini adalah batu loncatan penting dalam usaha mengembalikan prestasi optimum.

"Sentiasa ada sedikit ketidakpastian menjelang perlumbaan pertama musim ini, tetapi beberapa pelumba kami masih mengekalkan prestasi yang baik walaupun selepas berehat. Tekanan tetap ada, tetapi ia adalah satu keistimewaan untuk bersaing dan memburu kejayaan.

"Setiap negara di sini mahu menang kerana kejayaan itu akan menjamin slot tambahan ke Kejohanan Dunia. Itu, seterusnya, memudahkan tugas saya dalam pemilihan pasukan," tambahnya.

Dengan kombinasi juara berpengalaman dan pelumba baharu, perhatian kini tertumpu kepada bagaimana pasukan Jepun menyesuaikan diri dalam saingan pembuka musim serta sejauh mana strategi mereka mampu membuahkan hasil dalam memburu pingat dan slot ke Kejohanan Dunia.

Sementara itu, di sebalik reputasi Jepun yang konsisten mara ke peringkat akhir dalam acara keirin, namun hanya dua pelumba diturunkan untuk ATC 2025 berbanding tiga sebelum ini.

Niblett menjelaskan keputusan itu dibuat kerana jadual bertindih dengan beberapa pelumba utama mereka kini sedang bersaing dalam perlumbaan G1 berprofil tinggi di Jepun yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan