PETALING JAYA, 20 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya bersama jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sedang menunggu masa sesuai untuk mengumumkan hala tuju karier bekas juara dunia keirin itu.
Hannah berkata pertemuan selama kira-kira satu jam 30 minit dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin lepas berlangsung dalam suasana positif.
Namun, katanya hasil perbincangan itu sedang diteliti dan akan diumumkan bersama kelak.
“Saya sudah jumpa dengan Datuk Azizulhasni, kita telah adakan perbincangan yang bagus tetapi hasil perbincangan itu kita sedang meniliti dan bila masa yang sesuai kita akan umumkan bersama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh yakin keputusan yang bakal dibuat adalah yang terbaik untuk negara dan sukan berkenaan.
“Saya sedia maklum mengenai pertemuan antara menteri dan Azizulhasni tetapi buat masa ini saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan. Kita akan mengadakan satu acara khas untuk memaklumkan kepada semua mengenai hala tuju serta langkah beliau seterusnya.
“Saya yakin ini keputusan terbaik bagi negara dan juga untuk sukan ini," katanya.
Disember lepas, atlet berusia 37 tahun itu yang mendapat julukan “The Pocket Rocketman” dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni mengesahkan dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, tetapi masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial