KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi optimis anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi sektor berkenaan di Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 bermula 11-16 Mac ini.
Herry berkata beliau kini sedang dalam proses mempersiapkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan sistem latihan baharu bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan badminton tertua dunia itu.
“Peluang itu selalu ada tapi saya rasa persiapan mereka masih belum mencapai tahap maksimum.
“Aaron dan Wooi Yik masih menyesuaikan diri dengan program latihan saya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi Kejohanan Badminton Seluruh England pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan gandingan China, Fu Haifeng-Chai Yun.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di kejohanan berkenaan bergelar naib juara pada edisi 2019 dan 2024.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran tujuh beregu lelaki negara yang layak beraksi di kejohanan itu, beliau mengakui ia merupakan satu kelebihan buat Malaysia untuk mengungguli sektor berkenaan.
Beliau berkata perkembangan itu secara tidak langsung memberi persaingan sihat kepada beregu lelaki negara untuk beraksi dengan lebih baik.
Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia akan diwakili empat pasangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri
Tiga beregu lelaki profesional pula ialah pasangan nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial