TEMERLOH, 28 Feb (Bernama) -- Skuad Terengganu FC mempamerkan semangat juang dan keazaman tinggi untuk meraih kemenangan dengan jaringan besar ketika menumbangkan Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majli Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.
Ketua Jurulatihnya Badrul Afzan Razali berkata pasukannya pada awalnya hanya meletakkan sasaran untuk mambawa pulang tiga mata berharga pada aksi di gelanggang lawan itu namun kemenangan 5-1 memberikan kelebihan yang amat bermakna.
"Pemain bermain amat baik sepanjang 90 minit permainan dan menunjukkan sikap hendak menang. Kita menyedari Sri Pahang satu pasukan berpengalaman dan memiliki pemain import berkualiti justeru kita turun dengan strategi lebih berwaspada," katanya pada sidang media sejurus selepas tamat perlawanan.
Bekas pemain tengah Terengganu itu menyifatkan ia sebagai batu loncatan untuk terus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super musim ini.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad mengakui pasukannya beraksi di bawah prestasi sebenar sehingga membenarkan pasukan pelawat menguasai permainan dan meraih kemenangan.
"Pada separuh masa pertama, Sri Pahang banyak melakukan kesilapan. Setelah terlepas peluang menjaringkan gol, kita terus berhadapan counter attack (serangan balas) pasukan lawan manakala pemain kita berada terlalu mundur ke dalam kotak penalti.
"Babak kedua pula menyaksikan kita bermain lebih baik dengan tiga atau empat serangan dilancarkan tetapi ia tidak mendatangkan hasil, nampaknya malam ini bukan hari kita untuk menang," katanya.
Fandi berkata aksi Sri Pahang turut tempang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Aleksandar Cvetkovik dilayangkan kad merah pada minit ke-26.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial