SUKAN > BERITA

Jurulatih Wanita, Jeffer Rosobin Berpisah Dengan BAM

28/02/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, Feb 28 (Bernama) -- Jurulatih perseorangan wanita negara, Jeffer Rosobin meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, selepas 16 bulan  bersama badan induk itu, demikian menurut kenyataan BAM  hari ini.

BAM mengesahkan bahawa Jeffer telah membuat keputusan sukar untuk melepaskan jawatannya kerana komitmen keluarganya di Jakarta, Indonesia.

Mengimbas kembali perjalanannya bersama BAM, Jeffer, 48, mengakui penghormatan besar dapat berkhidmat dalam pembangunan badminton negara.

“Saya bersyukur atas sokongan daripada rakan jurulatih, pihak pengurusan dan para pemain yang sentiasa menunjukkan dedikasi luar biasa.

“Keputusan ini bukan mudah, tetapi keluarga memerlukan saya ketika ini. Saya akan sentiasa menghargai masa saya di Malaysia dan berharap dapat melihat pemain mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Rexy Mainaky menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Jeffer sepanjang bersama pasukan kejurulatihan negara.

“Jeffer adalah aset penting dalam struktur kejurulatihan BAM, membawa kepakaran serta komitmen tinggi kepada program pembangunan pemain muda.

“Bimbingannya banyak membantu kemajuan pemain berbakat. Walaupun sedih dengan pemergiannya, kami menghormati keputusannya dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dan keluarganya,” katanya.

Untuk rekod, Jeffer menyertai BAM pada Oktober 2023 sebagai Ketua Jurulatih Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum dipindahkan ke bahagian perseorangan wanita senior pada Oktober tahun lalu.

Sepanjang tempohnya sebagai Ketua Jurulatih Remaja, Aaron Tai-Kang Khai Xing meraih pingat emas beregu lelaki di Kejohanan Remaja Dunia Oktober lalu, manakala Dania Sofea-Low Zi Yu membawa pulang perak dalam acara beregu wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan