SUKAN > BERITA

Sukan Jadi 'Talian Hayat' Untuk Kanak-kanak OKU Intelektual

05/03/2025 02:19 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 5 Mac -- Ibu bapa tidak harus membiarkan anak orang kurang upaya (OKU) intelektual  mereka hidup terasing di rumah sebaliknya menggalakkan anak-anak ini terbabit dalam sukan dan aktiviti interaktif lain.

Presiden Olimpik Khas Malaysia Cawangan Putrajaya (SOPj) Raaginee Shalesh berkata penglibatan dalam sukan dan aktiviti sosial membantu anak-anak berkeperluan khas itu membina keyakinan diri dan meningkatkan kualiti hidup dengan memberi mereka peluang mempamerkan bakat serta kebolehan.

Bagaimanapun, beliau berkata sesetengah ibu bapa masih keberatan untuk mendaftarkan anak mereka di Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) bagi mendapatkan kad OKU. 

“Olimpik Khas menyediakan platform untuk kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke atas untuk terlibat dalam sukan. Setiap orang berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti dengan syarat yang minimum sebagai galakkan, dengan beberapa peraturan dikenakan bagi pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Mereka boleh bermula di kejohanan peringkat negeri, kemudian berkembang ke peringkat kebangsaan, serantau dan akhirnya Sukan Olimpik Khas Dunia. Olimpik Khas bukan hanya sekadar sukan, ia juga menumpu kepada pendidikan dan saringan kesihatan, termasuk pemeriksaan mata dan telinga bagi menjamin kesejahteraan mereka secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama. 

Raaginee berkata kanak-kanak berkenaan biasanya akan dirujuk ke SOPj oleh sekolah, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata pembabitan mereka dalam sukan bukan sahaja menggalakkan perkembangan positif malah memberi pengiktrafan dan peluang untuk mereka berjalan termasuk ke luar negara.  

Dalam pada itu, Raaginee berkata atlet SOPj telah meraih 11 pingat termasuk tiga emas sekali gus membantu Malaysia pulang dengan 20 pingat pada Kejohanan Boccia dan Boling Asia Pasifik Olimpik Khas di New Delhi pada November lepas.

Selain itu, kira-kira 80 atlet menyertai Sukan Tahunan SOPj peringkat negeri pada 23 Feb lepas untuk  bertanding dalam pelbagai jenis sukan seperti ‘bocce’, badminton, sofball dan olahraga.

“Atlet yang terpilih pada acara di peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan di Ipoh, Perak pada Jun depan. Ini merupakan peluang terbaik untuk kanak-kanak ini ke peringkat seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan