SUKAN > BERITA

KL City Tekad Kekal Kelab Elit, Masa Depan Hanya Ditentukan Lembaga Pengarah

07/03/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) – Kuala Lumpur City FC (KL City FC) mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam kapasiti peribadi dan menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai masa depan kelab hanya akan ditentukan melalui mesyuarat rasmi Lembaga Pengarah.

Dalam satu kenyataan di Instagram rasminya, KL City FC menegaskan komitmennya untuk mengekalkan status sebagai kelab elit dalam saingan Liga Super Malaysia.

"Sebarang ketetapan berhubung masa hadapan kelab ini hanya akan ditentukan melalui keputusan rasmi mesyuarat di peringkat Lembaga Pengarah, termasuk kesepakatan dalam kalangan pemegang kepentingan utama.

“Hal ini bagi memastikan kelestarian dan hala tuju kelab ini mengambil kira kepentingan terbaik penyokong setia City Boys, pemain, jurulatih, pengurusan, penaja dan rakan kongsi kami,” menurut kenyataan itu.

Kelab itu turut menghargai kenyataan Penaung KL City FC, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang pada 17 Okt 2024 semasa Majlis Malam Eksklusif Kepimpinan Baharu KLFA, menzahirkan aspirasinya untuk menjadikan KL City FC sebagai sebuah kelab ternama.

“Komitmen, sokongan dan visi beliau amat tidak ternilai dalam memacu perkembangan serta kejayaan jangka panjang kelab ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa KL City FC mungkin akan beraksi di liga bawahan dan tidak lagi bersaing dalam Liga Super sebagai langkah menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan