SUKAN > BERITA

Kelemahan Benteng Pertahanan Halang TFC Raih Tiga Mata Penuh

08/03/2025 10:32 AM

Badrul Afzan berkata skuad Penyu berdepan masalah kekurangan pemain apabila beberapa tonggak utama  pertahanan termasuk Muhammad Azam Azmi Murad mengalami kecederaan pada saat akhir.

Susulan itu beliau terpaksa membuat rombakan pada kesebelasan utama sehari sebelum perlawanan yang ternyata memberi impak besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

"Perlawanan malam ini kita agak sukar kerana kekurangan pemain terutama di bahagian pertahanan. Secara keseluruhan pemain banyak membuat kesilapan.

"Apa pun pemain dah beri segalanya. Saya terima keputusan satu mata walaupun kita mengharapkan tiga mata penuh bermain di tempat sendiri," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.          

Pada perlawanan itu TFC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Sabah FC.

Keputusan tersebut menyebabkan skuad Penyu  gagal merapatkan jurang mata dengan Sabah FC, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk menamatkan liga di kedudukan tiga terbaik musim ini.

Sementara itu pengendali Sabah FC Martin Stano berkata masalah komunikasi antara pemain menyebabkan skuad Sang Badak kehilangan dua mata pada saat akhir.

Bagaimanapun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang bekerja keras untuk memastikan skuad Sang Badak tidak berputih mata.

"Awal permainan agak baik, dengan pemain kami memberi banyak tekanan, dan mencipta banyak peluang, namun disebabkan beberapa kesilapan, terutama semasa mengambil sepakan sudut.. hanya mampu seri,” katanya.

Sabah FC ketika ini menduduki tangga ketiga liga dengan 36 mata manakala TFC di kedudukan keempat dengan perbezaan empat mata.          

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan