SUKAN > BERITA

Masters Malaysia 2025: Tengku Zafrul Bincang Isu Axiata Arena Dengan Hannah

23/05/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung isu titisan air di gelanggang Masters Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata aduan mengenai dakwaan kebocoran di venue utama kejohanan badminton itu yang berlangsung dari 20 Mei hingga Ahad ini telah dibawa ke perhatian Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan siasatan mendapati ia bukan kebocoran.

“Saya terima banyak aduan tentang perkara ini dan BAM telah bawa ke perhatian PSM. Kesimpulannya? Bukan bocor, tetapi kondensasi.

“Tindakan serta-merta telah diambil oleh PSM sebaik sahaja aduan diterima untuk meminimumkan gangguan kepada permainan,” katanya menerusi laman X, hari ini. 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Iliyas Jamil memaklumkan titisan air di gelanggang semasa kejohanan Malaysia Masters 2025 bukan disebabkan kebocoran bumbung Axiata Arena sebaliknya berpunca daripada masalah pemeluwapan. 

Iliyas berkata pemeluwapan terbentuk di sekitar paip pemadam kebakaran dan penyaman udara yang berkaitan dengan struktur bumbung sedia ada. 

Berdasarkan pemerhatian Bernama, permukaan gelanggang beberapa kali didapati basah dan perlu dilap oleh petugas sebelum perlawanan dapat diteruskan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan