SUKAN > BERITA

Masters Malaysia 2025: Wei Chong-Kai Wun Ambil Kesempatan Jadual Padat Aaron-Wooi Yik

25/05/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengambil kesempatan di atas jadual padat yang ditempuhi senior mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memenangi perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Wei Chong-Kai Wun yang turun selaku pilihan kelima merangkul gelaran sulung kejohanan itu apabila mengejutkan pilihan keempat dan juara dunia 2022 dengan kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam perlawanan yang berlarutan selama 50 minit, sekali gus menebus kekecewaan muncul naib juara pada edisi 2023.

Kai Wun berkata mereka menggunakan kesempatan di sebalik jadual padat Aaron-Wooi Yik yang mara ke final sebanyak dua kali berturut-turut dalam tempoh seminggu, selepas dipaksa berhempas pulas mengungguli Terbuka Thailand 2025 minggu lepas, dengan menewaskan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark, 20-22, 21-17, 21-12 pada aksi final.

“Mungkin persembahan mereka terganggu sedikit dan rentak mereka sedikit perlahan selepas bermain hampir setiap hari sejak akhir-akhir ini.

“Kami turun tanpa tekanan dan tidak fikir soal juara atau naib juara, yang penting utamakan persembahan kami hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wei Chong berkata aspek komunikasi di dalam gelanggang bersama pasangannya juga semakin baik selepas mengharungi prestasi hambar sebelum ini.

Pada masa sama, pemain berusia 25 tahun itu menghargai peranan dimainkan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi yang membantu menguatkan mental mereka bagi menempuh detik sukar yang dilalui.

Selepas menjuarai Masters Indonesia 2025 dengan mengecewakan pasangan tuan rumah Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 21-11, 21-19 pada Januari lepas, prestasi beregu ranking kelapan dunia itu menurun selepas tersingkir awal dalam empat kejohanan berturut-turut, sebelum kembali mengecapi nikmat kejayaan hari ini.

Kai Wun yang gembira dengan kejayaan sulung di tanah air sendiri terutama menewaskan rakan sepasukan Aaron-Wooi Yik pula berharap dapat mengekalkan momentum sedia ada untuk menghadapi Terbuka Singapura 2025 (27 Mei hingga 1 Jun) diikuti Terbuka Indonesia (3 hingga 8 Jun).

“Bermain di laman sendiri sangat istimewa, sampai penonton pun tidak tahu nak sokong sebelah mana. Namun, kami seronok kerana tempat pertama dan kedua menjadi milik pasangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan 2024 di Paris mengakui tahap prestasi mereka masih belum mencapai 100 peratus selepas baru sahaja menjuarai Terbuka Thailand 2025 minggu lepas.

Aaron berkata mereka banyak melakukan kesilapan sendiri dan akan berbincang semula bersama barisan kejurulatihan khususnya Herry, yang menyertai skuad kebangsaan pada Februari lepas bagi memperbaiki segala kekurangan.

“Corak permainan kita lebih baik berbanding sebelum ini dan lebih konsisten. Kita baru berapa bulan bersama jurulatih Herry. Jadi, kami masih dalam tempoh belajar dan cuba untuk menyesuaikan diri secepat mungkin dengan dia,” katanya.

Ditanya sama ada peminat badminton tanah air berpeluang menyaksikan lebih banyak ‘perang saudara’ pada kejohanan akan datang, Wooi Yik optimis perkara itu mampu direalisasikan sekiranya barisan beregu lelaki negara terus mengekalkan momentum dan prestasi cemerlang.

“Beregu lelaki kita sangat kuat. Saya harap kita dapat mengekalkan keadaan ini dan kita mempunyai lebih banyak misi untuk pergi. Ia belum lagi berakhir di sini. Saya rasa kita mempunyai lebih banyak misi seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Kemenangan Wei Chong-Kai Wun itu menamatkan penantian selama 12 tahun buat Malaysia selepas Goh V Shem-Lim Khim Wah menjuarai Masters Malaysia 2013.

Pada edisi 2023, Wei Chong-Kai Wun muncul naib juara selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 15-21, 24-22, 19-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan