SUKAN > BERITA

Sukan Permotoran Perlu Lebih Banyak Sokongan Sektor Korporat - Hannah 

27/05/2025 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru sektor korporat supaya memainkan peranan lebih besar dalam menyokong sukan permotoran di negara ini, peruntukan kerajaan sahaja tidak memadai untuk memenuhi keperluan pembangunan sukan berkenaan. 

Bercakap pada majlis kerjasama antara CIMB dan bakat baharu sukan permotoran Amer Harris Jefry, Hannah berkata pada tahun ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM5.6 juta, namun masih memerlukan sokongan pihak luar. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.9 juta disalurkan kepada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), RM450,000 untuk jabatan belia dan sukan negeri manakala RM3.2 juta kepada kelab dan persatuan di peringkat negeri.

Namun, Hannah berkata sukan permotoran masih kekurangan dana dan menyeru lebih ramai pihak  korporat tampil membantu.

“Masih banyak usaha yang perlu dilakukan dan seperti yang saya katakan, RM5.6 juta belum mencukupi. Sebab itu kita menggalakkan sektor korporat untuk turut serta,” katanya.

Hannah juga berharap supaya insentif cukai dapat merangsang lagi pelaburan korporat dalam pembangunan sukan berkenaan.

“Saya berharap kita dapat menyediakan lebih banyak inisiatif dan insentif cukai untuk sektor korporat supaya mereka berminat melabur dalam sukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan