MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri menyampaikan insentif khas RM50,000 kepada pemain beregu campuran negara kelahiran Melaka, Toh Ee Wei susulan kejayaan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris, Perancis baru-baru ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan Ee Wei bersama gandingannya Chen Tang Jie muncul juara acara itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa malah turut membanggakan rakyat Melaka.
“Kerajaan negeri amat menghargai pencapaian Toh Ee Wei yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.
"Insentif khas ini diharap menjadi penyuntik semangat kepada lebih ramai anak Melaka untuk berjaya di peringkat dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Ab Rauf menerima kunjungan Ee Wei di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau berkata dalam pertemuan itu Ee Wei turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah akademi badminton di Melaka sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan berkenaan.
“Kerajaan negeri menyambut baik cadangan ini kerana ia bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada pembangunan sukan malah menjadi wadah beliau berbakti kepada negeri kelahirannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial