SUKAN > BERITA

Kehadiran Sze Fei-Nur Izzuddin Tingkat Kualiti Latihan Beregu Lelaki Negara

26/12/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani akan menjalani sesi latihan bersama pasukan negara sebagai persiapan menghadapi Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai pada 6 Jan depan.

Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara Herry Iman Pierngadi berkata pasangan itu akan menjalani sesi latihan selama dua kali seminggu bagi meningkatkan kualiti latihan, sekali gus memberi manfaat kepada beregu lelaki negara dan mereka.

“Jurulatih Rexy (Mainaky) ada mesej saya untuk memberitahu pemain profesional mahu berlatih bersama, dalam satu minggu, dua kali. Saya kata silakan saja, memang mungkin untuk persiapan Terbuka Malaysia.

“Jadi kalau pemain-pemain profesional itu berlatih mungkin agak kurang, jadi mereka gabung sini. Sama-samalah apa namanya, menguntungkan gitu,” katanya selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Dalam pada itu, Herry turut percaya sesi latihan bersama gandingan profesional dan beregu lelaki mampu menghasilkan persaingan sihat dalam kalangan pemain.

“Menurut saya berlatih bersama pemain profesional ini sama tahap kerana mereka (beregu lelaki negara) sama-sama di atas. Jadi menurut saya itu akan lebih bagus,” katanya.

Pada masa sama, Herry berkata tempoh latihan bersama pemain profesional itu buat masa ini masih bersifat jangka pendek dan tertumpu kepada persiapan kejohanan terdekat.

“Untuk jangka pendek ini mungkin untuk persiapan Terbuka Malaysia tapi nanti Piala Thomas apa belum ada perbincangan lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan