SUKAN > BERITA

Malaysia Sasar 55 Emas Pada APG 2025

02/01/2026 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menyasarkan 55 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Nakhon Ratchasima, Thailand dari 20 hingga 26 Jan ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2025 Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata sasaran itu realistik selepas berbincang bersama pihak berkepentingan, biarpun terdapat beberapa cabaran teknikal yang perlu dihadapi barisan atlet negara.

Beliau berkata sukan renang dan olahraga dijangka terus menjadi lubuk emas negara manakala badminton, ping pong dan berbasikal turut disandarkan harapan untuk mencipta kejayaan membanggakan.

“Kalau di Kemboja 50 emas dan kali ini kami mahukan peningkatan, itu kami tidak boleh kompromi. Jadi, apabila kami sasar 55 emas maka dengan harapan semuanya mengikut perancangan,” katanya semasa lawatan CDM ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Zarrawi berkata persiapan kontinjen kini berada di tahap 100 peratus dan rata-rata atlet menunjukkan semangat juang yang tinggi menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

Beliau bagaimanapun berkata kebimbangan timbul berhubung isu penjadualan yang dilihat tidak memihak kepada kem negara khususnya dalam acara renang.

“Saya dapati jadual renang agak padat, S8 (kecacatan fizikal) ada empat acara satu hari, saya rasa macam tak betul sebab tempoh pemulihan tiada untuk atlet. Jadi (perkara) ini kami akan bawa semasa mesyuarat pengurus pasukan dan sebagainya,” kata Mohd Zarrawi.

Sebagai rekod, kontinjen negara meraih 50 emas, 38 perak dan 35 gangsa untuk menduduki tempat keempat pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan