SUKAN > BERITA

Munoz Sanjung Kemenangan JDT Berjuang 10 Pemain Menentang Kuching City FC

15/01/2026 08:30 AM

ISKANDAR PUTERI, 15 Jan (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji semangat juang tinggi pasukannya selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Beliau berkata anak buahnya tetap beraksi dengan tenang dan mempunyai keazaman walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Natxo Insa dilayangkan kad merah pada minit ke-55.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, beliau berkata pasukannya memberikan respons sangat baik selepas dibolosi pada separuh masa pertama dan terus mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Penyesuaian taktikal pada separuh masa rehat, katanya membantu JDT memperbaiki prestasi mereka dan menukar peluang kepada gol, sambil menambah pemain kekal fokus dalam situasi sukar dan bertindak positif pada separuh masa kedua.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Ignacio Mendez pada minit ke-58 dan Bergson da Silva (minit ke-64) selepas Scott Woods memberikan Kuching City FC kelebihan awal pada minit ke-41.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak turut memuji usaha dan disiplin dipamerkan anak buahnya walaupun mengalami kekalahan.

Beliau berkata skuad itu telah memberikan tentangan yang baik, sambil menambah dengan penyertaan pemain baharu, Kuching City FC akan terus memperbaiki prestasi dan kekal kompetitif dalam liga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan