SUKAN > BERITA

Powerman Malaysia 2026 Siap Sedia Tingkat Pengalaman Perlumbaan

30/01/2026 11:38 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Powerman Malaysia terus menonjol sebagai antara perlumbaan paling unik dalam acara sukan global, dengan suasana, tenaga dan pengalaman perlumbaan yang dirancang rapi menarik kehadiran atlet dari seluruh dunia. 

Presiden Persatuan Powerman Antarabangsa John Raadschelders berkata Malaysia menawarkan persekitaran unik yang menjadikan acara itu istimewa kepada peserta sama ada dari segi persaingan mahupun emosi. 

“Sukar untuk dijelaskan perasaan datang ke Malaysia tetapi ia berbeza. Kami teruja dengan suasana di sini dan berasa bertenaga dengan cara mereka membuat persiapan, berinteraksi serta bagaimana mereka terus melakukan peningkatan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Powerman Malaysia baru-baru ini.

Raadschelders berkata persekitaran perlumbaan di Malaysia membolehkan atlet memberi tumpuan kepada prestasi mereka tanpa tekanan yang tidak perlu atau memikirkan masalah logistik.

“Semuanya disediakan dengan baik dan dirancang teliti. Kami menyediakan perlumbaan dan mereka memastikan dapat memberikan usaha yang terbaik,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Unikorn Events Sdn Bhd Niklas Yong berkata mereka bersyukur dengan peluang menganjurkan Powerman Malaysia untuk tiga tahun akan datang. 

Beliau berkata objektif utama ialah untuk meningkatkan acara itu ke tahap seterusnya, bukan hanya kepada atlet tetapi juga melibatkan penonton, penyokong serta keluarga.

Yong berkata Powerman Malaysia akan menampilkan peningkatan dalam kualiti perlumbaan, keselamatan dan penglibatan penonton. 

“Kategori elit sentiasa menjadi sebahagian daripada teras Powerman kerana kami membawa masuk standard antarabangsa dan peserta dari seluruh dunia.

“Untuk 2026, kami akan memperkenalkan kategori usia lima tahun bagi kedua-dua jarak, iaitu Classic dan Short.  Ini membolehkan peserta bersaing di padang yang lebih setara dan menggalakkan prestasi secara menyeluruh,” katanya dan menambah mereka menyasarkan penyertaan antara 4,500 hingga 5,000 peserta. 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sukan dan Rekreasi Perbadanan Putrajaya (PPj) Mohamad Sujairi Ishak berkata Powerman Malaysia antara acara pengenalan Putrajaya yang mendapat sokongan penuh PPj setiap tahun.

Beliau berkata PPj menyediakan fasiliti dan infrastruktur bagi menyokong keperluan penganjuran, selain melibatkan komuniti Putrajaya termasuk sukarelawan dalam acara itu.

“Acara ini turut membuka ruang kepada sosioekonomi Putrajaya seperti sektor perhotelan, makanan dan minuman sekali gus menaikkan imej serta nama Putrajaya pada peringkat global,” katanya.

Mohamad Sujairi berkata PPj turut bekerjasama rapat dengan penganjur dalam aspek pembangunan sukan termasuk menerusi Klinik Powerman Malaysia yang memberi pendedahan bukan sahaja kepada peserta baharu, malah komuniti Putrajaya.

Beliau berkata matlamat utama ialah menjadikan acara itu bukan sekadar persinggahan atlet Powerman Malaysia, tetapi juga menarik minat komuniti Putrajaya menyertai sukan lasak dan mengamalkan gaya hidup aktif.

Powerman Malaysia 2026 yang melibatkan acara antarabangsa larian-berbasikal-larian dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 20 Sept di Dataran Putrajaya dan akan menarik penyertaan atlet duathlon elit serta amatur dari dalam dan luar negara.

Unikorn Events Sdn Bhd diumumkan sebagai pemegang lesen dan penganjur baharu Powerman Malaysia manakala PPj dilantik sebagai penaja lokasi dengan Putrajaya diisytiharkan secara rasmi sebagai “Powerman City”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan