Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 31 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita profesional Malaysia Goh Jin Wei melangkah ke pusingan akhir kejohanan badminton Masters Thailand 2026 selepas menewaskan rakan senegara Wong Ling Ching di Stadium Nimibutr, di sini hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu ternyata memanfaatkan pengalamannya untuk bangkit selepas tumpas pada set pertama kepada Wong yang juga pemain ke-43 dunia, 17-21, 21-17, 21-16 dalam pertembungan selama 57 minit.
Berada pada ranking ke-68 dunia, Jin Wei mengakui tidak menjangkakan kemenangan kerana keletihan selepas perlawanan sebelum itu selain banyak melakukan kesilapan.
"Ia pertandingan yang sangat sengit hari ini. Ling Ching mengawal sebahagian besar permainan tetapi saya bernasib baik dapat melepasinya sebagai pemenang," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan di sini.
Meskipun lebam pada ibu jari kanan, Jin Wei berkata beliau akan memberikan aksi terbaik pada final esok.
Katanya beliau tidak meletakkan sasaran tertentu untuk kejohanan itu dan sebaliknya memilih untuk fokus pada melakukan yang terbaik dan mencapai keputusan sebaik mungkin.
Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita esok, atlet kelahiran Pulau Pinang itu akan berdepan pemain nombor 63 dunia Devika Sihag dari India, yang membuat kejutan menewaskan pemain Taiwan, Huang Yu Hsun (ranking ke-35) 22-20, 21-13.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial