SUKAN > BERITA

Aruwin Kembali Ke Olimpik Musim Sejuk Dengan Keyakinan Baharu

09/02/2026 06:34 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Atlet luncur alpine negara Aruwin Salehhuddin kembali ke pentas Olimpik Musim Sejuk dengan keyakinan diperbaharui serta pengalaman lebih matang apabila bersedia membuat penampilan kedua pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 di Itali.

Selepas membuat penampilan sulung pada edisi Beijing 2022, atlet berusia 21 tahun itu berkata kelayakan kali kedua membawa makna lebih mendalam hasil kematangan, pengorbanan serta pemahaman lebih jelas terhadap cabaran yang bakal dihadapi.

“Penampilan kali ini dirasakan lebih realistik dan dinanti-nantikan berbanding sebelum ini. Ia masih mempunyai keistimewaan tersendiri, namun saya kini lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dijangkakan berbanding empat tahun lepas.

“Saya percaya saya mendekati Sukan Olimpik kali kedua ini dengan persiapan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Aruwin, atlet wanita pertama negara yang beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk dan satu-satunya wakil Malaysia di Milano Cortina, dijadualkan beraksi dalam acara giant slalom wanita pada 15 Feb, diikuti slalom pada 18 Feb.

Pengalaman sulung di Beijing turut membentuk pendekatannya dalam mengurus tekanan Olimpik, termasuk keputusan strategik untuk meninggalkan Perkampungan Olimpik selepas majlis pembukaan di San Siro, Milan, Jumaat lepas.

Katanya jurulatih merancang agar beliau kembali ke Austria bagi menjauhkan diri daripada suasana padat di perkampungan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan menjelang pertandingan.

Berbeza sebelum ini, Aruwin tidak lagi meletakkan sasaran berasaskan podium, sebaliknya menilai kejayaan melalui peningkatan diri.

“Saya mahu melihat sejauh mana peningkatan saya sejak empat tahun lepas, terutama dari segi mental dan kualiti luncuran,” katanya.

Walaupun pernah menjalani latihan selama beberapa tahun di Itali, Aruwin mengakui cabaran beraksi di Pusat Ski Alpine Tofane tetap mencabar.

“Saya teruja untuk berlumba di cerun Olimpik Cortina kerana tidak pernah meluncur di situ sebelum ini dan ia dianggap cerun bersejarah,” katanya.

Venue berkenaan pernah menjadi lokasi acara ski alpine pada Olimpik Musim Sejuk 1956 dan dianggap antara laluan ski paling ikonik di dunia, dengan jarak 2,560 meter serta perbezaan ketinggian 750 meter.

Biarpun laluan ke Milano Cortina tidak mudah susulan kecederaan meniskus ketika pertandingan di China November lepas serta kekangan kewangan, Aruwin bertekad mengetepikan semua keraguan.

“Semua itu akan saya tinggalkan sebaik sahaja berada di pintu permulaan di Cortina. Tidak kira betapa sukar perjalanan ini, hakikatnya saya berada di sana dan itu yang paling penting,” katanya.

Selain kepuasan peribadi, Aruwin berharap kehadirannya di Itali mampu menyampaikan mesej lebih luas mengenai kemampuan atlet Malaysia bersaing dalam arena sukan yang jarang diterokai.

Pada penampilan sulung di Beijing, Aruwin menamatkan saingan di tempat ke-38 acara giant slalom wanita, namun gagal menamatkan perlumbaan slalom.

Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 dijadualkan berakhir pada 22 Feb.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan