SUKAN > BERITA

Piala Thomas: Penyertaan Zii Jia Dijangka Diketahui Seminggu Lagi - Chong Wei

20/02/2026 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 Lee Zii Jia dijangka mengumumkan keputusan mengenai penyertaan dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala Thomas 2026 dalam tempoh seminggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei berkata beberapa perkara perlu dimuktamadkan terlebih dahulu antara pihak Zii Jia dan badan induk badminton negara itu sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.

“Kita telah berbincang dan beliau minta tempoh seminggu untuk berfikir (sertai skuad Piala Thomas). Kami harap Zii Jia boleh menyertai pasukan ini.

“Kami sentiasa mengalu-alukan Zii Jia dalam skuad Piala Thomas kerana saya rasa beliau juga mempunyai pengalaman bermain di kejohanan itu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Terdahulu Zii Jia bersama jurulatihnya Liew Darren dan perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei mengadakan pertemuan kira-kira satu jam bersama Chong Wei berhubung penyertaan mereka di Kejohanan Piala Thomas dan Uber di Horsens, Denmark April ini.

Dalam pada itu, Chong Wei turut memaklumkan barisan kejurulatihan turut bersetuju untuk memanggil Jin Wei bagi memperkuatkan skuad wanita negara dalam saingan Piala Uber.

Katanya Jin Wei juga belum memberi sebarang keputusan berhubung penyertaannya dan dijangka memberinya selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Ini semua adalah keputusan Kenneth Jonassen. Saya hanya menyokong keputusan dan perancangannya untuk pasukan kebangsaan,” katanya 

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky mengesahkan beregu profesional lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bersetuju untuk menyertai skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas 2026.

Rexy berkata pasangan profesional itu berkemungkinan bersama pasukan bukan sahaja bagi kempen Piala Thomas, bahkan sehingga ke Sukan Asia 2026.

"Ya, mereka sudah beri jawapan. Bahkan sampai Sukan Asia juga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan