SUKAN > BERITA

Muhammad Haikal-Hong Jian Tekad Tamat Badi Kalah Pusingan Pertama

22/02/2026 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri bertekad menamatkan badi kalah pada pusingan pertama musim ini apabila beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman yang membuka tirai 24 Feb ini.

Muhammad Haikal yang berpasangan bersama Chong Hong Jian berkata beliau masih belum berada pada prestasi sebenar dan berharap akan mendapatkan semula rentak pada kejohanan di Eropah itu.

”Dari segi persembahan untuk beberapa kejohanan sebelum ini, saya masih belum berpuas hati sebab dalam beberapa pertandingan asyik kalah pusingan pertama.

“Jadi saya tak letak sasaran tinggi dan sasar untuk lepas pusingan pertama terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Haikal ketika ditanya mengenai kecederaan yang dialaminya sebelum ini mengakui ia sudah pulih sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun tanpa berselindung mengakui masih berdepan sedikit fobia setiap kali turun beraksi bagi mengelak daripada mengalami kecederaan.

“Setiap kali pergi kejohanan, memang saya nak menang tapi dalam masa sama tak mahu cedera lagi. Mungkin ada sedikit rasa fobia, walaupun tidaklah terlalu teruk,” katanya.

Pada aksi di Jerman, Muhammad Haikal-Hong Jian dijangka berdepan tugas sukar apabila bertemu beregu ketiga dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang pada pusingan pertama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan