SUKAN > BERITA

Projek Naik Taraf Padang Stadium Perak Capai 75 Peratus - Exco

02/03/2026 08:48 PM

IPOH, 2 Mac (Bernama) --  Projek naik taraf padang di Stadium Perak yang bermula pada Jun 2025 kini mencapai kemajuan fizikal kira-kira 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya untuk digunakan secara optimum sekitar Ogos atau September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng berkata projek itu melibatkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri dengan kos asal kira-kira RM800,000.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan projek, penilaian teknikal bersama jabatan berkaitan dan perunding pakar telah mengenal pasti beberapa keperluan tambahan bagi meningkatkan kualiti serta ketahanan padang dalam jangka masa panjang.

“Antara kerja tambahan yang dilaksanakan termasuk pengubahsuaian sistem saliran bawah tanah bagi mempercepatkan aliran air dan mengurangkan risiko takungan. Penambahbaikan juga melibatkan pembinaan saliran perimeter untuk mengasingkan aliran air daripada trek larian serta pemasangan sistem siraman automatik jenis pop-up sprinkler yang tidak termasuk dalam skop asal projek,” katanya.

Ng berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak di Stadium Perak bagi meninjau perkembangan terkini projek naik taraf padang yang dikendalikan oleh MBI di sini hari ini.

Beliau berkata MBI juga telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM413,000 bagi pemasangan sistem sprinkler automatik melibatkan 24 unit nozzle untuk memastikan siraman air lebih sekata dan konsisten ke seluruh permukaan padang.

“Keputusan menambah sistem berkenaan dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilaksanakan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan. Kaedah siraman sebelum ini dilakukan secara manual dan bergantung kepada tenaga kerja, sekali gus menyebabkan pengagihan air kurang konsisten. Jadi, asalnya hanya 13 sprinkler sahaja, namun kita tambah lagi 11 unit menjadikan ia 24 unit,” katanya.

Menurut Ng projek pemasangan sprinkler itu dijangka siap sepenuhnya sekitar akhir Mac hingga April 2026, diikuti tempoh pematangan rumput sebelum padang berkenaan boleh digunakan secara optimum.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan berbanding jadual asal susulan pelaksanaan kerja tambahan dan penyelarasan teknikal, langkah ini perlu bagi memastikan kualiti padang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan