SUKAN > BERITA

Hoe Yean Mahu Lebur Rekod Kebangsaan 400m Gaya Bebas Pada Sukan Asia, Komanwel 2026

03/03/2026 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perenang negara Khiew Hoe Yean memasang impian memadam rekod kebangsaan dalam acara 400 meter (m) gaya bebas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Perenang berusia 23 tahun itu berkata beliau menyasarkan untuk mencipta rekod baharu pada dua temasya sukan itu demi memastikan dirinya mencatat rekod sebagai perenang berkelas dunia. 

“Kalau saya dapat catat 3 minit 46 saat atau 3:45s, maksudnya boleh setanding perenang berkelas dunia dan kedudukan itu juga selamat untuk pastikan saya boleh ke final pada kejohanan dunia tahun depan, jadi itu saya punya sasaran tahun ini. 

“Sekarang saya dalam keadaan baik untuk memburu sasaran itu, saya hanya perlu disiplin dan konsisten dalam latihan saya,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas lelaki sebelum ini dicipta oleh Hoe Yean sendiri pada Sukan Universiti Dunia 2025 di Berlin, Jerman, dengan catatan 3:47.38s mengatasi rekod lama 3:48.36s. 

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut menyasarkan untuk bersaing secara konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai, sekali gus memberi keyakinan baharu menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel. 

Sementara itu, Hoe Yean berharap Akuatik Malaysia (MAS) akan menyediakan jurulatih dengan kontrak jangka masa panjang bagi memastikan persembahan atlet renang negara kekal konsisten tanpa sebarang gangguan. 

“Kami kerap menukar jurulatih, sejak 2023 dua perubahan berlaku. Jadi, apa kami sebagai atlet berharap adalah dapat jurulatih dengan rancangan jangka masa panjang, bukan sahaja baik untuk saya tetapi juga perenang-perenang lain. 

“Kalau berterusan tukar program dan jurulatih tidak akan memberi banyak manfaat kepada perenang,” katanya. 

Terdahulu, bekas jurulatih skuad renang kebangsaan Eric Anderson mencapai kata sepakat bersama MAS untuk tidak menyambung perkhidmatannya yang berakhir pada 31 Dis 2025.

Sejak itu, masih belum ada yang menggantikan Anderson.

MAS bagaimanapun memaklumkan kekosongan jawatan jurulatih itu akan diisi pada Mac ini. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan