SUKAN > BERITA

Speedy Tigers Akur Kehebatan Jepun, Tewas 4-5

08/03/2026 06:39 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Skuad hoki lelaki negara tewas 4-5 kepada Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir pada Sabtu. 

Skuad Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ryoma Ooka pada minit ke-15 sebelum pasukan kendalian Sarjit Singh menyamakan kedudukan menerusi Fitri Saari pada minit ke-30. 

Pasukan Speedy Tigers menggandakan kedudukan menerusi gol padang Marhan Jalil dan Syed Cholan pada minit ke-30 dan 35. 

Namun Jepun merapatkan jurang apabila Kazumasa Matsumoto meledak jaringan padang selang tiga minit kemudian sebelum Raiki Fujishima menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-52.

Lawan terus menghukum Speedy Tigers dengan dua lagi jaringan menerusi Koji Yamasaki pada minit ke-55 dan 57 sebelum Malaysia memperoleh gol keempat menerusi Faizal Saari, dua minit sebelum perlawanan berakhir.

Bagaimanapun, skuad negara berkemungkinan masih layak ke Piala Dunia Hoki 2026 Belanda-Belgium, apabila ranking dunia semasa menyaksikan Malaysia di tangga ke 15, mengatasi Wales di tangga ke-16 dan Poland di tangga ke-20 yang beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu lagi pusingan kelayakan.

Slot ketujuh kejohanan itu diberikan kepada pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi antara dua pasukan yang kalah dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di kedua-dua kelayakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan