SUKAN > BERITA

Piala Uber 2026: Mei Xing Sedia Beri Laluan Kepada Pemain Muda

11/03/2026 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pemain beregu wanita negara Teoh Mei Xing bersedia memberi laluan kepada pemain muda untuk beraksi pada kejohanan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark bulan depan.

Mei Xing berkata pemain muda wajar diberi peluang untuk merasai pengalaman mewakili negara pada kejohanan badminton berpasukan wanita paling berprestij yang dijadual dari 24 April hingga 3 Mei ini.

“Saya pernah main sebelum ini, jadi saya rasa bagi (peluang) kepada junior lebih bagus kerana mereka pun memerlukan pengalaman (beraksi di Piala Uber).

“Saya juga okay kalau kekal di sini (Akademi Badminton Malaysia) untuk menjalani latihan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini pernah membuat penampilan sebanyak tiga kali pada Piala Uber bermula dari edisi 2020 di Aarhus, Denmark, edisi 2022 di Bangkok dan edisi 2024 di Chengdu, China.

Dalam pada itu, Mei Xing mengakui berdepan cabaran beraksi dalam dua kategori termasuk beregu campuran pada tahun ini.

Mei Xing digandingkan dengan Tan Zhing Hui bagi beregu wanita dan beraksi bersama Tan Zhi Yang dalam kategori beregu campuran.

Walaupun kombinasinya bersama Zhing Hui agak baik, namun beliau berkata masih memerlukan masa untuk mencipta keserasian bersama Zhi Yang.

“Saya sudah agak lama tidak bermain beregu campuran. Jadi saya masih perlu perbaiki dari segi aspek keserasian dengan gandingan saya,” katanya.

Pencapaian terbaik Mei Xing bersama Zhing Hui adalah mara ke separuh akhir Siri Antarabangsa Singapura 2026, baru-baru ini.

Bagi aksi bersama Zhi Yang, pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah layak ke suku akhir Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 dan Siri Antarabangsa Singapura 2026.

Mei Xing sebelum ini bergandingan bersama Go Pei Kee namun mereka berpisah selepas pasangannya membuat keputusan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia, bulan lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan