BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 SUKAN > BERITA

MFL Sahkan Pendaftaran Empat Pemain Warisan Ikut Peraturan Liga-M

13/03/2026 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025-2026 sebagai pemain tempatan adalah mematuhi Peraturan Pertandingan Liga-M.

MFL memaklumkan pendaftaran tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta seorang pemain Kuching City FC Gabriel Palmero dilakukan mengikut prosedur dalam manual pertandingan liga.

“Merujuk kepada Manual Liga-M Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan pasport berwarna.

“Perkara ini turut dijelaskan menerusi surat perkeliling kepada semua kelab Liga-M bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemas kini dan dimuat naik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing: Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan pasport berwarna,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Menurut MFL, empat pemain tersebut telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga-M dengan menggunakan kad pengenalan sah, yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi musim ini.

Justeru, MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan pertandingan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab masing-masing.

Namun, MFL menjelaskan empat pemain tersebut masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi seperti diputuskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.

Empat pemain tersebut antara tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang berdepan tindakan hukuman kes pemalsuan dokumen.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan