SUKAN > BERITA

Melaka FC Tekad Perbaiki Kedudukan Liga Super - Elavarasan

16/03/2026 12:01 PM

MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors dalam aksi Liga Super malam tadi sebagai tiga mata yang amat penting bagi memperbaiki kedudukan pasukannya dalam carta liga.

Beliau berkata kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada pasukan ketika saingan musim ini semakin menghampiri penghujung dengan hanya lima perlawanan berbaki.

“Dengan baki lima perlawanan, setiap mata sangat penting. Kemenangan ini membantu kita memperbaiki kedudukan dan memberi motivasi kepada pemain untuk terus berjuang dalam baki perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan The Real Warriors terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Enzo Nicolas Jacques Celestine pada minit ke-12.

Melaka FC bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem pada minit ke-44 sebelum Che Rashid Che Halim menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66.

Elavarasan berkata pasukannya melakukan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama, namun perubahan taktikal serta pertukaran pemain pada babak kedua membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Beliau berkata pasukannya dijadual menentang Sabah FC bulan depan di laman sendiri dan tempoh selepas Hari Raya Aidilfitri akan dimanfaatkan untuk menyusun semula pasukan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Sementara itu, jurulatih kecergasan Kelantan The Real Warriors, Kamarul Dinis Kamarudin berkata pemainnya sudah mempamerkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Beliau berkata pasukan sedikit terkesan dengan faktor keletihan berikutan jadual padat selain perlu mengharungi beberapa perlawanan di luar Kota Bharu dengan tempoh masa yang singkat.

Melaka FC kini berada di kedudukan ke-12 Liga Super dengan 14 mata, hanya satu mata di belakang Kelantan The Real Warriors yang menghuni tangga ke-11 selepas mengumpul 15 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan