SUKAN > BERITA

ISTAF, World Abilitysport Jalin Kerjasama Promosi Sepak Takraw Adaptif

17/03/2026 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan World Abilitysport bagi mempromosikan sepak takraw berubah suai atau adaptif serta membuka peluang pertandingan untuk atlet yang mengalami kecacatan fizikal.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen mereka untuk menjadikan sepak takraw lebih inklusif dan boleh diakses oleh atlet daripada semua peringkat kebolehan.

“Atlet layak menyertai pertandingan sepak takraw adaptif antarabangsa dalam tiga kategori iaitu TKR 1 (kecacatan anggota atas lutut), TKR2 (kecacatan anggota bawah lutut) dan TKR3 (kecacatan anggota atas).

“Kategori TKR1 dan TKR2 merangkumi amputasi atas atau bawah lutut atau kekurangan anggota yang setara, kelemahan otot atau atrofi otot yang ketara pada satu kaki, kecacatan akibat polio, dan perbezaan panjang kaki melebihi 5 sentimeter (cm).

“TKR3 pula meliputi kekurangan anggota atas sejak lahir, amputasi unilateral di bawah siku, kekangan sendi atau kekakuan yang ketara di pergelangan tangan atau lengan, serta kelemahan otot atau atrofi otot, termasuk kecacatan yang berkait dengan polio,” katanya.

Abdul Halim berkata semua atlet dibenarkan menggunakan prostesis atau peralatan sokongan lain bagi membantu keseimbangan dan mobiliti, atau untuk menyokong fungsi lengan jika sesuai.

“ISTAF dan komuniti sepak takraw antarabangsa dengan bangganya menyambut atlet kurang upaya sebagai peserta dalam sukan ini. Persekutuan percaya bahawa semangat sebenar sukan terletak pada keupayaannya untuk menyatukan individu daripada pelbagai latar belakang dan tahap kebolehan.

“Sehubungan itu, ISTAF kekal komited sepenuhnya untuk memastikan atlet adaptif diberikan peluang bermakna untuk menyertai, bertanding dan berkembang dalam komuniti sepak takraw antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata kerjasama dengan World Abilitysport juga akan aktif mempromosikan penyertaan antarabangsa dalam sepak takraw adaptif serta menggalakkan ahli-ahlinya untuk menubuhkan pasukan sepak takraw adaptif menjelang pertandingan akan datang, termasuk World Abilitysport Youth Games, yang dijadualkan berlangsung di Mersin, Turkiye, pada 15 hingga 22 Jun ini.

“Penglibatan sepak takraw dalam program ini akan memperkukuh komuniti sepak takraw antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang, pengiktirafan dan kedudukan global sukan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan