KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Malaysia diisytiharkan tewas 3-0 dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan Harimau Malaya menurunkan pemain tidak layak ketika aksi berkenaan sebelum ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan perkara itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC Jahangi Baglari itu mendapati FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.
Pada perlawanan 25 Mac tahun lepas di Stadium Sultan Ibrahim, Malaysia mengatasi Nepal 2-0 manakala di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun, Malaysia menang 4-0 ke atas Vietnam.
"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC," menurut FAM dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda US$50,000 (RM196,119), dan akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara berkenaan.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini mengungguli Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Vietnam 12 mata dan berdasarkan perkiraan tidak rasmi, skuad kebangsaan berdepan risiko kehilangan slot ke Piala Asia 2027 dengan mengumpul sembilan mata susulan hukuman berkenaan.
Laos pula kedudukan ketiga dengan tiga mata manakala Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Sekiranya Malaysia menewaskan Vietnam pada aksi terakhir kumpulan 31 Mac ini, ia belum memadai buat skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Asia 2027 selepas hanya mengumpul 12 mata manakala Vietnam pula di kedudukan teratas dengan 15 mata.
Sebagai rekod, AFC telah membuka kertas siasatan terhadap FAM susulan isu pemalsuan dokumen babitkan tujuh pemain negara yang sebelum itu digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lepas, atas dakwaan sama.
Tujuh pemain berkenaan adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial