SUKAN > BERITA

Tahap Kesiapsiagaan Malaysia Anjur Sukan SEA 2027 Hampir 80 Peratus 

24/03/2026 10:56 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia kian bersedia menjadi hos Sukan SEA buat kali ketujuh melibatkan empat kluster utama di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur bagi edisi 2027.

Menuju kurang daripada 600 hari edisi ke-34 sebelum Sukan SEA dijadual dibuka secara rasmi pada 18 Sept 2027, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata tahap kesiapsiagaan negara menganjurkan temasya sukan dwitahunan yang bakal menawarkan 38 jenis sukan itu, sudah mencapai tahap hampir 80 peratus.

“Sekarang kita sudah hampir ke arah itu. Dari segi atlet, saya rasa atlet semakin bersedia dan dari segi fasiliti dan sebagainya, mungkin 70 ke 80 peratus.

“Perbincangan mengenai penetapan jumlah sukan pula sudah mencapai tahap 90 peratus cuma ada sedikit proses rayuan sukan dan sebagainya untuk kita mengenal pasti sukan-sukan yang kita boleh anjurkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri di sini, baru-baru ini.

Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan Sukan SEA 2027, dengan 17 sukan dipertandingkan, iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wusyu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball, manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara, iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup dengan 14 sukan dipertandingkan, iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata barisan atlet negara telah pun menjalani fasa pertama persediaan menjelang Sukan SEA 2027 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak, baru-baru ini.

Beliau berkata fasa pertama persediaan itu melibatkan sesi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua sesi itu penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri setiap atlet negara, sekali gus dapat meniup semangat perjuangan mereka untuk merangkul pingat sebanyak yang mungkin di laman sendiri kelak.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan