SUKAN > BERITA

Zulfadhli Puji Aksi Cemerlang Pasukan Memanah Compound Wanita Di Piala Asia

26/03/2026 01:19 PM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Jurulatih skuad memanah compound negara, Zulfadhli Ruslan memuji persembahan cemerlang ditampilkan pemanah wanita negara yang berjaya menyumbang pingat gangsa di Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) di Bangkok, Thailand.

Beliau berkata, anak buahnya itu bukan sahaja menyumbang pingat gangsa malah turut berjaya memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara compound berpasukan wanita.

“Untuk pasukan wanita,selepas kegagalan di Sukan SEA tempoh hari saya dan juga pembantu jurulatih memang banyak fokus pada team wanita untuk meningkatkan prestasi mereka dan Alhamdulilah kita boleh nampak hasil pada kejohanan ini, dimulai dengan rekod baharu kebangsaan dan pingat gangsa acara elimination rounds. 

“Kita akan terus pantau prestasi mereka supaya akan terus meningkatkan pada kejohanan yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu Zulfadhli turut berbangga dengan persembahan pemanah senior negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang berjaya mara ke perlawanan akhir acara individu.

“Kita boleh nampak Fatin dah berjaya (membuat) comeback selepas kurang menyerlah pada Sukan SEA lepas dengan beberapa pertukaran teknik dan peralatan.

“Jadi kita boleh nampak perubahan yang baik dari segi panahan dan beliau berjaya menyamai rekod kebangsaan yang dia lakukan pada tiga tahun lepas. Malah beliau juga berjaya melangkah ke (peringkat) final acara individu,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas berkenaan prestasi skuad compound lelaki negara Zulfadhli mengakui sedikit kecewa apabila mereka gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk game pertama tahun ini saya boleh kata performance (prestasi) yang tidak memberangsangkan bagi pasukan compound lelaki yang mana kita mengharapkan mereka berada dalam top 4 setiap kejohanan Asia, namun kali ini mereka kalah pada pusingan awal hari ini. 

“Saya akan kaji balik di mana silap pasukan lelaki untuk persediaan game yang akan datang,” katanya.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan