SUKAN > BERITA

ACC 2026: Kem Berbasikal Trek Para Negara Cemerlang Tuai Tiga Emas

27/03/2026 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Skuad berbasikal trek para negara mempamerkan aksi cemerlang apabila menggondol tiga pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay City, Filipina, hari ini.

Jaguh berbasikal trek para Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menampilkan kayuhan bertenaga untuk merangkul emas ujian masa 1 kilometer (km) lelaki C1 (kecacatan fizikal) dengan catatan masa 1 minit 14.090 saat (s).

Mohamad Yusof menafikan saingan pencabar terdekat Seok Hojin dari Korea Selatan yang memenangi perak (1:18.468) dan pelumba Arab Saudi, Abas Alhashim meraih gangsa (1:20.021s).

Momentum kemenangan Mohamad Yusof diteruskan wakil negara dalam acara ujian masa 1 km lelaki C5 (kecacatan fizikal) selepas Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Ahmad Zharif Ahmad Nazri masing-masing unggul membawa pulang emas dan perak.

Zuhairie merekodkan masa 1:05.992s diikuti Ahmad Zharif dengan catatan 1:07.061s dan Ruito Kameda dari Jepun melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa (1:08.206s).

Dalam pada itu, Nur Suraiya Muhamad Zamri bersama jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan menyambar emas ujian masa 1 km wanita B (kecacatan penglihatan) selepas merekodkan 1:11.291s.

Pingat perak dimenangi rakan sepasukan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal (1:13.991s) manakala Zhuldyz Kainarova-Anzhela Solovyela dari Kazakhstan meraih gangsa (1:14.093s).

Saingan lelaki bagi acara sama pula menyaksikan dua wakil Malaysia iaitu Mohd Khairul Hazwan Wahab-Muhammad Khairul Adha Rasol mencatatkan 1:04.928s dan Ahmad Ahlami Mohamad-Ahmad Safwan Ahmad Nazeri (1:05.186s) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Kazuhei Kimura-Riku Inoue dari Jepun menguasai acara tersebut untuk merangkul emas dengan 1:03.039s.

Kejohanan ACC 2026 yang bermula Rabu lepas berakhir 31 Mac ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan