SUKAN > BERITA

TM Stadium Nasional Kekal Venue Final Piala Malaysia Mei Ini

04/04/2026 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Venue ikonik TM Stadium Nasional, Bukit Jalil kekal menjadi gelanggang final Piala Malaysia musim 2025-2026 yang dijadual berlangsung pada 23 Mei depan.

Perkara itu disahkan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan lokasi susulan perancangan kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan.

Beliau berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah memberi ruang kepada MFL untuk melengkapkan saingan Piala Malaysia sebelum venue berkenaan ditutup bagi kerja penambahbaikan bermula Jun hingga September depan.

“Tarikh perlawanan dan venue masih kekal. PSM memberikan masa untuk kita menghabiskan final Piala Malaysia. Mungkin selepas itu bagi musim 2026-2027, kita akan lihat bagaimana keadaannya.

“Mungkin final Piala FA musim depan akan terjejas, tetapi kita akan melihat penyelesaiannya selepas ini,” katanya ketika ditemui pada Klinik Bolasepak MFL 2025-2026 anjuran bersama MFL dan PSM di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Ilyas Jamil menjelaskan penutupan sementara stadium tersebut adalah bagi membolehkan kerja penukaran trek olahraga dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.

“Penutupan ini bertujuan untuk menukar trek sebagai persediaan ke arah Sukan SEA 2027 dan kita mencari tempoh sesuai supaya final Piala Malaysia dapat dilaksanakan di sini.

“Kita juga berharap final Piala FA (musim depan) dapat diadakan di venue sama, namun ia bergantung kepada kemajuan kerja yang akan dilaksanakan. Bagaimanapun, bermula 2027 dan seterusnya, saya rasa tidak akan ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Klinik Bolasepak MFL 2025-2026 yang berlangsung hari ini melibatkan penyertaan 40 kanak-kanak berumur antara lapan hingga 12 tahun sebagai sebahagian usaha pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan dan Safee Sali yang berkongsi pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada peserta muda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan