SUKAN > BERITA

MPM 'Intai' Dek Wan, Langkah Perkukuh Ekosistem Sukan Para

07/04/2026 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat ‘membawa’ pemenang pingat emas pertama Sukan Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai Dek Wan yang baharu mengumumkan persaraannya awal bulan ini, menyertai barisan pentadbiran badan induk itu dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan para negara.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat MPM bulan depan termasuk kemungkinan melantik Dek Wan sebagai duta atau memegang peranan signifikan dalam organisasi berkenaan.

Beliau berkata pengalaman luas yang dimiliki bekas atlet berusia 38 tahun itu mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sukan para khususnya dalam memahami keperluan sebenar atlet.

“Dek Wan adalah antara atlet yang saya sangat hormati. Sumbangannya kepada negara tidak ternilai dan beliau merupakan ikon serta inspirasi kepada generasi atlet para,” katanya kepada pemberita selepas Bengkel Klasifikasi Para SUKMA Selangor 2026 di sini, hari ini. 

Beliau menyifatkan kejayaan Mohamad Ridzuan memenangi pingat emas  acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki pada Paralimpik Rio 2016 sebagai detik penting yang membuka laluan kepada kejayaan atlet para Malaysia di pentas dunia.

Shahriman menegaskan usaha membawa bekas atlet ke dalam pentadbiran merupakan antara inisiatif untuk memastikan kesinambungan pengalaman dan kepakaran dalam ekosistem sukan.

Beliau turut berharap suatu hari nanti dapat melihat atlet para mengisi jawatan penting dalam pentadbiran sukan negara seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). 

“Ini sukan mereka. Kita hanya menyediakan rangka kerja tetapi yang benar-benar memahami pengorbanan adalah atlet sendiri. Jadi kita mahu beri peluang kepada mereka untuk terus menyumbang,” katanya.

Dek Wan sebelum ini disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin bahawa beliau memutuskan untuk mengundurkan diri daripada sukan olahraga para bermula awal bulan ini. 

Sementara itu, mengenai bengkel berkenaan Shahriman berkata pelaksanaan sistem klasifikasi sifar  akan diteruskan buat kali kedua pada temasya Para SUKMA Selangor 2026 selepas diperkenalkan di Para SUKMA Sarawak 2024. 

Beliau berkata pengalaman di Sarawak memberi banyak pengajaran kepada MPM untuk menambah baik prosedur serta memperkukuh kefahaman dalam kalangan jurulatih dan pegawai.

“Ini adalah kali kedua kita melaksanakan klasifikasi sifar, kita jangka pelaksanaannya akan lebih lancar serta tersusun berdasarkan penambahbaikan daripada edisi lepas,” katanya. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan