SUKAN > BERITA

Dana RM1 Juta Anjur Piala Dunia Sepak Takraw 2026 Diperuntuk Daripada Geran Padanan Sukan KBS

14/04/2026 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Dana RM1 juta bagi menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa dari 16-23 Mei ini diperuntukkan daripada Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata dana yang diperuntukkan kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk memastikan penganjuran kejohanan tersebut berjalan lancar. 

“Insya-Allah kita sebagai tuan rumah akan sekali lagi menghidupkan sukan takraw ini di peringkat akar umbi dan kita angkat sehingga ke peringkat antarabangsa. Itu yang paling penting sekali sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan.

GPS KBS merupakan inisiatif berbentuk geran padanan yang diberikan bagi tujuan penganjuran program sukan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan. 

Kaedah pemberian bantuan GPS KBS adalah secara tuntutan bayaran balik.

Terdahulu, pada majlis sama, Anwar memaklumkan peruntukan RM2 juta kepada PSM bagi memperkukuh pengurusan Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan tersebut merangkumi antara lain kebajikan pemain yang menjalani latihan di kompleks berkenaan.

Kompleks yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru bernilai RM6 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan di bawah satu bumbung.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut menerima dana GPS KBS bernilai RM825,000 bagi membantu persatuan itu menganjurkan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bermula 24 hingga 26 April ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan