KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Dana RM2 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sedikit sebanyak meringankan beban Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam mengukuhkan operasi Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di sini.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata peruntukan itu mampu membantu pihaknya mengelakkan masalah kewangan, sekali gus memastikan pengurusan operasi kompleks berkenaan berjalan lancar.
“Alhamdulillah ini menunjukkan komitmen yang cukup tinggi daripada Perdana Menteri untuk melihat sepak takraw terus berkembang baik dan terus mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
“Dana ini sememangnya perlu. Jika tiada pun, saya terpaksa jalankan juga dengan apa yang kami ada tapi kami bersyukur kerana banyak kerja boleh dibuat untuk jangka masa pendek ataupun jangka masa panjang setakat mana yang mampu kami uruskan,” katanya.
Mohd Sumali berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia oleh Anwar di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru di sini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Kompleks bernilai RM6 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan di bawah satu bumbung.
Mohd Sumali juga bersyukur menerima dana RM1 juta daripada Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu melancarkan penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa di sini, dari 16 hingga 23 Mei ini.
Beliau berkata peruntukan GPS KBS itu juga berupaya membantu meringankan beban peningkatan kos penganjuran sebanyak 30 peratus susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial