SUKAN > BERITA

Muhammad Armin Zahryl Raih Emas 110m Lari Berpagar Di Singapura

15/04/2026 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Atlet 110 meter (m) lari berpagar lelaki negara Muhammad Armin Zahryl Abdul Latif mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Singapura 2026 di Stadium Nasional, Singapura hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Olahraga Malaysia, Muhammad Armin Zahryl turut mencatat masa peribadi terbaik (PB) baharu, iaitu 13.82 saat (s).

Beliau mengatasi pencabar terdekat yang juga atlet tuan rumah Ang Chen Xiang yang meraih perak dengan catatan 13.85s manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina Clinton Kingsley Bautista (14.22s).

“Saya gembira dapat mencatatkan PB di sini (13.82s) untuk mengatasi catatan sebelum ini (13.85s). Sebenarnya, sasaran saya tahun ini adalah melakukan 13.90s dan alhamdulillah saya dapat mencipta PB baharu. 

“Saya berterima kasih kepada ibu saya, jurulatih, rakan seperjuangan dan peminat di tanah air yang sentiasa memberikan sokongan,” kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Sementara itu, dalam acara rejam lembing wanita, Ng Jing Xuan turut menghadiahkan pingat perak buat negara selepas melakukan rejaman sejauh 47.49m.

Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Singapura 2026 berlangsung bermula hari ini sehingga 17 April.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan