SUKAN > BERITA

Dr Kjey Tekad Pecah Rekod MBOR, GWR Buat Kali Ketiga

17/04/2026 01:04 PM

Oleh Afifitri Muhammad

KUANTAN, 17 April (Bernama) --  Atlet kecergasan negara Jey Prabakaran Thevar, 29, bertekad memecahkan rekod dunia buat kali ketiga menerusi cabaran ekstrem 18 jam kardio dan angkat berat tanpa henti, yang akan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) dan Rekod Dunia Guinness (GWR).

Dalam mendepani misi mencabar itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr KJEY berkata latihan kali ini lebih intensif selama tiga bulan bermula April dengan disiplin tinggi, termasuk dua sesi latihan setiap hari, enam hari seminggu dengan melibatkan kardio dan angkat berat tanpa henti, selain mengamalkan kawalan pemakanan yang ketat.

“Jika sebelum ini saya melakukan cabaran selama 12 dan 15 jam, kali ini saya menyasarkan 18 jam, yang sememangnya satu tahap baharu. Selain itu, saya juga berjaya menurunkan berat badan hampir 35 kilogram (kg) daripada 92 kg,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Anak jati Kuala Lipis itu berkata ketika melakukan rekod dunia kali kedua pada 2024, beliau mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang, sekali gus menjejaskan tumpuan terhadap pemakanan.

“Namun, kini saya telah pulih sepenuhnya dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada diet serta latihan, menyebabkan penurunan berat badan yang ketara,” katanya.

Dr KJEY sebelum ini menempa nama dalam MBOR dan GWR menerusi cabaran 12 jam dan 15 jam kardio serta angkat berat tanpa henti pada 2023 dan 2024, selain turut memecahkan rekod Asia dengan catatan masa 13 jam.

Di sebalik kejayaan itu, beliau dibimbing jurulatihnya, Mohd Shazwan Mohd Luthfi Ismail, yang memainkan peranan penting dalam pencapaian rekod dunia sebelum ini.

Beliau berkata setiap sesi latihan ibarat medan peperangan yang menguji had sebenar diri.

“Ini bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi ujian mental. Sasaran saya jelas, iaitu 18 jam kardio dan angkat berat tanpa henti. Saya tahu risikonya, namun saya yakin dengan kemampuan diri.

“Ada hari badan hampir menyerah, tetapi mental tidak boleh kalah. Di situlah bezanya antara biasa dan luar biasa,” katanya.

Beliau kini dalam usaha mencari lokasi gimnasium yang sesuai untuk percubaan itu dan menyasarkan untuk melaksanakannya pada penghujung Jun ini.

Dalam pada itu, Dr KJEY berkata beliau juga aktif membimbing atlet baharu bagi sukan bina badan dan percubaan rekod dalam bidang kecergasan menerusi kelabnya, Kelab Bina Badan KJEY (BKJ), dengan jumlah ahli lebih 500 orang. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan serta pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, khususnya Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Kamal, atas sokongan berterusan.

Beliau berharap pencapaian itu dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus berusaha mencapai impian.

“Apabila kita menetapkan sasaran, kita mesti berusaha mencapainya. Jangan mudah berputus asa. Disiplin dan dedikasi ialah kunci untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Dengan semangat juang yang tinggi dan disiplin yang luar biasa, Dr KJEY kini bersedia untuk sekali lagi mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia, sekali gus mendefinisikan semula had kemampuan manusia dalam kardio dan angkat berat tanpa henti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan