SUKAN > BERITA

Piala Cabaran: Sabah FC Akan Berjuang Bermati-matian, Sokongan Padu Bakar Semangat

18/04/2026 03:03 PM

KOTA KINABALU, 18 April (Bernama) -- Harapan tinggi penyokong yang mahu Sabah FC “menang atau berjuang bermati-matian” benar-benar memberi inspirasi kepada pemain untuk memberikan yang terbaik dalam final kedua Piala Cabaran 2025/2026 di sini malam esok, dengan tekad menamatkan kemarau trofi sejak kali terakhir menjulang Liga Premier 2019.

“Kami akan melakukannya,” kata Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano dengan penuh semangat ketika menjawab mengenai sentimen “menang atau berjuang bermati-matian” yang hangat diperkatakan di media sosial menjelang aksi timbal balik menentang Penang FC di Stadium Likas.

Stano dalam sidang media perlawanan di sini hari ini berkata sokongan luar biasa, dengan lebih 11,000 tiket telah terjual setakat ini memberi dorongan besar kepada anak buahnya.

“Kami mahu menjadikan penyokong sebahagian daripada kejayaan ini kerana mereka boleh memberi perbezaan di atas padang, terutamanya di laman sendiri. Selepas seri 1-1 di Pulau Pinang, kami bertekad untuk memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri bagi meraih kejuaraan,” katanya.

Stano berkata berbeza dengan aksi di tempat lawan yang menyaksikan Sang Badak bergelut dengan kecederaan, pasukan kini memasuki perlawanan final kedua dalam keadaan yang jauh lebih baik.

“Kami mempunyai skuad hampir lengkap dengan ramai pemain telah kembali bersama pasukan untuk perlawanan ini,” katanya.

Mengenai taktikal pasukan, Stano berkata beliau menekankan konsistensi di atas padang berbanding memperkenalkan perubahan radikal atau taktikal yang keterlaluan.

Beliau berkata barisan kejurulatihan memberi tumpuan kepada penambahbaikan perincian kecil serta memastikan para pemain berasa selesa mengendalikan situasi berintensiti tinggi sepanjang perlawanan.

Mengakui penampilan di final Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) berbeza kerana berdepan lawan dominan sehingga tewas 0-5, ketua jurulatih itu melihat pertembungan dengan Penang FC sebagai peluang yang jauh lebih seimbang dan realistik untuk menjulang piala.

Beliau juga menyeru peminat memenuhi stadium malam esok, sambil mengimbau suasana penuh semangat ketika aksi final pertama di Pulau Pinang dan berharap penyokong tuan rumah dapat melakukan perkara yang sama untuk menaikkan semangat pemain.

“Bagi kami, ini adalah peluang besar untuk menjulang kejuaraan, terutama di laman sendiri untuk penyokong, kelab, pemain dan semua staf. Penyokong sedang menantikan sesuatu yang menggembirakan dan kami memerlukan sokongan mereka pada setiap saat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata kelebihan Sabah FC beraksi di hadapan penyokong sendiri sama sekali tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk memburu kejuaraan pada aksi akhir kedua Piala Cabaran esok.

Bekas penyerang Harimau Malaya itu mengakui kelebihan berpihak kepada tuan rumah yang turut memiliki pengalaman beraksi di pentas akhir, namun menegaskan Penang FC berada pada tahap motivasi tertinggi serta bersedia memberikan tentangan sengit.

Beliau berkata fokus utama skuad Harimau Kumbang untuk memperbaiki kelemahan penyudah, mengambil pengajaran daripada perlawanan pertama di Stadium Bandaraya yang menyaksikan mereka gagal menterjemahkan peluang kepada jaringan.

"Dari segi taktikal tidak banyak berubah, namun pemain perlu membuat keputusan yang tepat terutamanya dalam tempoh 10 hingga 15 minit pertama untuk menyerap tekanan lawan dengan matang," katanya pada sidang media sama.

Mengemudi pasukan di pentas final buat kali pertama selaku ketua jurulatih, Wan Rohaimi berasa bangga dengan pencapaian anak buahnya dan berharap kedua-dua pasukan dapat menyajikan aksi menghiburkan, bertepatan status perlawanan akhir.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan