SUKAN > BERITA

Pandelela Belum Mahu Bersara, Fokus Layak Sukan Asia

19/04/2026 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong belum berhasrat bersara daripada sukan terjun dalam masa terdekat kerana mahu terus berbakti kepada negara.

Anak jati Sarawak itu berkata tumpuan beliau kini ialah melayakkan diri ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadualkan dari 19 Sept hingga 4 Okt.

“Belum lagi, sekarang saya fikir untuk terjun lagi. Sasaran saya layak ke Sukan Asia,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Ujian Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Berhubung prestasi pada kejohanan itu, Pandelela bersyukur dengan markah yang diperoleh selain dirinya dapat mengawal kecederaan yang membelenggunya dengan baik.

“Terjunan pertama paling sukar dan mencabar bagi saya, namun saya bersyukur dengan keseluruhan persembahan hari ini kerana berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS),” katanya.

Terdahulu, Pandelela menepati ramalan apabila memenangi kategori 10 meter (m) platform individu wanita dengan markah keseluruhan 292.05 selepas lima terjunan sekali gus melepasi MQS ditetapkan Akuatik Malaysia (MAS).

Tempat kedua dan ketiga kategori itu dimenangi penerjun negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar (283.15) dan Lee Yiat Qin (266.8).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan