KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) Irfan Bakti Abu Salim menuntut pemain dalam skuad kendaliannya supaya kekal fokus bagi melayakkan diri secara merit ke saingan Liga Super musim depan.
Beliau berkata KRW FC tidak boleh lagi tercicir mata dalam baki saingan Liga A1 Semi Pro sekiranya mahu merebut slot ke saingan liga utama itu.
“Keputusan sebelum ini tidak memihak kepada kami dan menyebabkan kedudukan pasukan kini sedikit mencabar. Justeru, pemain perlu mengutip sebanyak mungkin mata, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika ini, KRW FC mengumpul 38 mata daripada 22 perlawanan, ketinggalan sembilan mata di belakang Kedah FA dan lima mata di belakang UM Damansara United, dua pasukan kelab terbaik yang berada dalam kelompok layak ke Liga Super.
Beliau ketika mengulas aksi seterusnya berkata pasukan itu bakal berdepan perlawanan mencabar menentang Manjung City FC pada malam ini dan Armed Forces (25 April) diikuti empat lagi perlawanan pada Mei yang akan menjadi penentu nasib mereka musim ini.
“Dalam situasi semasa, kami perlu memenangi semua perlawanan bermula dengan Manjung dan Armed Forces. Kami tidak boleh lagi melakukan kesilapan kerana setiap mata amat berharga untuk kekal bersaing sehingga ke penghujung musim,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial