GEORGE TOWN, 20 April (Bernama) -- Persiapan Pulau Pinang sebagai satu daripada empat kluster utama penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan lancar dengan dua venue menjadi pilihan bagi enam acara sukan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.
Beliau berkata dua lokasi berkenaan ialah Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Gelugor dan SPICE Arena di Bayan Lepas, yang kini sedang diteliti bagi memenuhi keperluan pertandingan.
“Hari ini saya mengadakan sesi libat urus bersama warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pulau Pinang serta melawat lokasi penganjuran Sukan SEA 2027, iaitu di SPICE Arena dan PWCC.
“Seperti sedia maklum, enam acara akan dipertandingkan di negeri ini melibatkan sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball. Lawatan ini bertujuan memahami keadaan semasa fasiliti serta keperluan teknikal setiap venue sebagai input kepada pihak penganjur,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di SPICE Arena, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir sejam meninjau fasiliti di lokasi berkenaan selain diberikan taklimat mengenai persiapan Pulau Pinang bagi Sukan SEA 2027 oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang Harry Chai Heng Hua dan Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang Mozakir Buyong Mokhtar.
Mordi berkata SPICE Arena berpotensi menjadi venue sepak takraw, snuker dan biliard, manakala PWCC untuk acara judo, tinju, pingpong dan floorball, namun ia tertakluk kepada penyelarasan lanjut oleh pihak penganjur.
Katanya senarai rasmi venue akan dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) selepas semua perkara dimuktamadkan.
Beliau berkata KBS akan terus memainkan peranan dalam menyelaras serta menyokong dari segi dasar dan ekosistem pembangunan sukan.
Pulau Pinang dipilih sebagai satu daripada kluster penganjuran Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027 dengan tiga lagi kluster ialah Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial